Sunday, July 13, 2008

Kasihnya seorang ibu..

Berpindah' ke UMP demi anak

Oleh Hawa-Ainal Marhaton Abd Ghani
bhnews@bharian.com.my


KASIH IBU: Zaidah menolak Siti Hawa dengan kerusi roda ke dewan kuliah setiap hari.

Zaidah terpaksa tinggalkan keluarga untuk urus anak OKU di universiti yang lemah urat saraf

KUANTAN: Kasih sayang seorang ibu sanggup berbuat apa saja demi kesejahteraan dan keselamatan anaknya terbukti apabila seorang wanita sanggup meninggalkan kehidupan berkeluarga untuk berada di sisi anaknya sejak hari pertama memasuki universiti.

Bagi Zaidah Tamjis, 45, keputusannya meninggalkan sementara suami, Apandi Abd Hadi, 45, yang juga pesara tentera bersama anak, Zakiah, 13, di rumah mereka di Jalan Gambang di sini, adalah bagi membolehkannya menjaga Siti Hawa, 19, yang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini.


Anak kedua Zaidah iaitu Mustapha, 21, kini belajar di Universiti Tun Hussein Onn di Batu Pahat, Johor.


Siti Hawa yang menghidap Spinal Muscular Atrophy (SMA) Type 2 yang melemahkan urat saraf dan menyebabkan anggota tubuhnya mengecil dari masa ke masa, kini di tahun dua pengajian Diploma Sains Komputer selepas memperoleh keputusan 5A, 4B dan 1C dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2006.

Penyakit SMA Type 2 menghalang pergerakan penghidapnya bermula daripada bayi dan pengesanan awal hanya dilakukan apabila bayi lewat meniarap, merangkak dan berjalan kerana berlaku pengecutan otot.

Zaidah berkata, kecekalan anaknya mengharungi hidup dengan penuh kepayahan tetapi mampu mencipta kejayaan sejak di sekolah rendah, menangkis tanggapan sinis dilemparkan kepadanya.

"Selain Siti Hawa, anak sulung kami, Musa yang juga OKU meninggal dunia ketika berusia 17 tahun kerana komplikasi SMA, manakala anak bongsu meninggal selepas empat bulan dilahirkan.

"Sebenarnya, saya terkilan ada pihak mempertikaikan kemampuan Siti Hawa memasuki universiti, seolah-olah ia tidak sesuai kerana hidupnya 100 peratus bergantung kepada orang lain.

"Sebab itu, apabila dia berjaya memasuki UMP, saya nekad berada di sisi membantunya belajar kerana mahu membuktikan, kecacatan tidak menghalang Siti Hawa mencapai cita-citanya menjadi Pengaturcara Komputer," katanya ketika ditemui di UMP, semalam.

UMP menerusi Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) menghadiahkan kerusi roda elektrik berharga RM10,000 bagi membantu Siti Hawa bergerak.

Zaidah berkata, pengorbanannya menjaga Siti Hawa dianggap berbaloi apabila anaknya itu cemerlang setiap ujian semester sehingga mendapat Anugerah Dekan.

1 comment:

d3mOnGirL said...

waaa....sedih nye...
ingat kt umi...rindu nye